Sunday, June 24, 2007

Kunjungan BKIP Ke UMNO Bahagian Lenggong Eratkan Jalinan Silaturahim


Oleh Nurul Izza Solahuddin
Gambar Roslay Raffie

LENGGONG: Kunjungan Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat UMNO (BKIP) seramai 40 orang ke UMNO Bahagian Lenggong mengeratkan hubungan silaturahim dan ikatan mesra yang sedia terjalin antara kakitangan ibu pejabat dan ahli-ahli UMNO bahagian tersebut.

Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Wan Hanafiah Wan Mat Saman yang turut sama dalam rombongan tersebut menyatakan bahawa setiap ahli bertanggungjawab untuk memastikan kerukunan dan jalinan erat antara bahagian dan Ibu Pejabat.

“Kunjungan ini adalah satu rangka yang dilakukan dalam program turun padang melalui kerjasama antara BKIP dan program khidmat masyarakat bagi membantu golongan yang susah dan kurang bernasib baik di samping mempereratkan lagi hubungan akrab yang sedia terjalin,” kata beliau dalam ucapannya.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, YB Toh Shahbandar Haji Mohd. Tarmizi Idris mengalu-alukan kunjungan BKIP dan program Khidmat Masyarakat UMNO Bahagian Lenggong bersama BKIP.

“Kunjungan BKIP ke sini adalah bukti kepada jalinan mesra dan erat dari kakitangan Ibu Pejabat UMNO dengan UMNO Bahagian di seluruh negara,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli BKIP dan penduduk pekan Kuak di dewan Sekolah Kebangsaan Raban.

Beliau menyatakan bahawa kedatangan kakitangan Ibu Pejabat menjadi satu pendorong ke atas mereka untuk terus mempersiapkan diri bagi memantapkan parti dan memperteguhkan hubungan antara ahli-ahli.

Dalam hal berkaitan, Setiausaha Pentadbiran Ibu Pejabat UMNO, Datuk Ishak Abd Rahman menyatakan penghargaan dari kakitangan BKIP atas layanan serta program-program yang telah diatur sepanjang kakitangan BKIP berada di sini.

“Kami amat terharu dengan layanan yang diberikan dan diharap agar kesinambungan dalam hubungan dan kerjasama yang telah terjalin ini akan dapat diteruskan.”

Lawatan selama tiga hari ahli-ahli BKIP ke Bahagian tersebut dipenuhi dengan program-program padat termasuklah aktiviti sukan iaitu bola sepak dan bola jaring yang membabitkan ahli-ahli BKIP dan juga ahli-ahli UMNO Bahagian Lenggong dan Puteri UMNO Bahagian.


Sebelum itu, acara kuiz, pertandingan mewarna dan sesi ceramah dari pegawai MARA turut diadakan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar kawasan tersebut.

Dalam lawatan ini juga, kakitangan BKIP melalui program khidmat masyarakat telah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal berupa, wang, kain batik, pelikat, kain telekung dan surah yassin.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Syamsul Anuar Nasarah; Ketua Cawangan Pekan Kuak, Tuan Haji Ibrahim Sulaiman; Ketua Cawangan Kampung Kuak, Tuan Haji Syed Idris Syed Abdul Hamid serta ahli-ahli UMNO dan penduduk kampung kawasan tersebut.

Lawatan tersebut adalah kunjungan balas kakitangan Ibu Pejabat UMNO selepas menerima kunjungan dari UMNO Bahagian Lenggong akhir tahun yang 2006 dan Puteri UMNO Lenggong, April lalu.

Monday, March 26, 2007

Kunjungan BKIP Ke UMNO Bahagian Cameron Highlands Eratkan Silaturahim


Ropikah Ahmad
Gambar Zainol Asri

KUALA LUMPUR: Kunjungan kakitangan Badan Kebajikan Ibu Pejabat UMNO (BKIP) seramai 50 orang ke UMNO Bahagian Cameron Highlands membuktikan hubungan silaturahim yang erat dan kerjasama yang tidak pernah putus antara kakitangan ibu pejabat dan ahli-ahli UMNO bahagian tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Hj. Wan Rusdi Wan Ismail menyatakan rasa gembiranya terhadap kunjungan BKIP ke bahagian tersebut.

“Sesungguhnya lawatan ini adalah satu dorongan ke atas saya dan Bahagian Cameron Highlands sendiri untuk terus mempersiapkan diri bagi memantapkan parti dan memperteguhkan hubungan antara ahli-ahli termasuklah di Bahagian dan juga dengan ahli-ahli BKIP,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan dalam majlis jamuan mesra antara BKIP dengan ketua dan ahli jawatankuasa bahagian tersebut di Asli Lodge, Sungai Ruil.

Sementara itu, Pengerusi BKIP, Datuk Ismail Mohamad dalam ucapan balasnya menyatakan penghargaan dari kakitangan BKIP atas layanan serta program-program yang telah diatur sepanjang kakitangan BKIP berada di Cameron Highlands. “Kami amat terharu dengan layanan yang diberikan dan diharap agar kesinambungan dalam hubungan dan kerjasama yang telah terjalin ini akan dapat diteruskan.” Beliau turut menyatakan harapannya agar perjuangan UMNO dapat dihayati terutamanya kepada generasi muda.

Lawatan selama tiga hari ahli-ahli BKIP ke Bahagian tersebut dipenuhi dengan program-program padat termasuklah aktiviti sukan iaitu bola sepak dan bola jaring yang membabitkan ahli-ahli BKIP dan juga ahli-ahli UMNO Bahagian Cameron Highlands. Dalam lawatan ini juga, kakitangan BKIP turut meluangkan masa melalui program ramah mesra bersama masyarakat orang asli kampung Sungai Ruil di samping memberikan sumbangan berupa beg sekolah dan kuih-muih kepada kanak-kanak di kampung terbabit.

BKIP Sumbang Satu Kontena Air Mineral Kepada Mangsa Ombak Besar Tsunami Aceh

WANGSA MAJU – Atas dasar keprihatinan, tanggungjawab dan simpati, Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat UMNO (BKIP) hari ini tampil memberikan sumbangan satu kontena air mineral kepada mangsa tragedi ombak besar tsunami di Acheh.
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa $ Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir oleh wakilnya, Bendahari BKIP, Puan Faridah Alias di Pusat Pengumpulan Sumbangan “Ehsan Mangsa Tsunami” di Malaysian Institute Of Integrative Media (MIIM), di sini, hari ini.
Program “Bantuan Ehsan Mangsa Tsunami Luar Negara” atau dikenali sebagai “Ehsan Mangsa Tsunami” adalah bagi membantu mangsa bencana khususnya di kawasan yang paling teruk di Acheh Indonesia yang digerakkan Biro Hubungan Antarabangsa $ Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Pada majlis yang sama selain, BKIP beberapa syarikat dan pertubuhan tempatan turut tampil memberikan sumbangan mereka.
Antaranya Syarikat Spanco yang menyumbangkan satu lori air mineral dan Drypers serta 50 kampit beras, Pemuda UMNO Melaka (10,000 botol air mineral), Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Kuala Lumpur (300 botol air mineral) dan Muslim Aid Asia yang menyumbangkan air mineral, ubat-ubatan dan makanan yang bernilai RM200 ribu.
Ketika ini ekoran kemusnahan teruk segala infrastruktur di Acheh kesan bencana Tsunami 26 Disember lalu, masyarakat terutama mangsa di kawasan terbabit amat mengharapkan sumbangan keperluan terdesak terutama air bersih, ubat-ubatan dan makanan segera.
Habis