
Oleh Nurul Izza Solahuddin
Gambar Roslay Raffie
LENGGONG: Kunjungan Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat UMNO (BKIP) seramai 40 orang ke UMNO Bahagian Lenggong mengeratkan hubungan silaturahim dan ikatan mesra yang sedia terjalin antara kakitangan ibu pejabat dan ahli-ahli UMNO bahagian tersebut.
Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Wan Hanafiah Wan Mat Saman yang turut sama dalam rombongan tersebut menyatakan bahawa setiap ahli bertanggungjawab untuk memastikan kerukunan dan jalinan erat antara bahagian dan Ibu Pejabat.
“Kunjungan ini adalah satu rangka yang dilakukan dalam program turun padang melalui kerjasama antara BKIP dan program khidmat masyarakat bagi membantu golongan yang susah dan kurang bernasib baik di samping mempereratkan lagi hubungan akrab yang sedia terjalin,” kata beliau dalam ucapannya.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, YB Toh Shahbandar Haji Mohd. Tarmizi Idris mengalu-alukan kunjungan BKIP dan program Khidmat Masyarakat UMNO Bahagian Lenggong bersama BKIP.
“Kunjungan BKIP ke sini adalah bukti kepada jalinan mesra dan erat dari kakitangan Ibu Pejabat UMNO dengan UMNO Bahagian di seluruh negara,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli BKIP dan penduduk pekan Kuak di dewan Sekolah Kebangsaan Raban.
Beliau menyatakan bahawa kedatangan kakitangan Ibu Pejabat menjadi satu pendorong ke atas mereka untuk terus mempersiapkan diri bagi memantapkan parti dan memperteguhkan hubungan antara ahli-ahli.
Dalam hal berkaitan, Setiausaha Pentadbiran Ibu Pejabat UMNO, Datuk Ishak Abd Rahman menyatakan penghargaan dari kakitangan BKIP atas layanan serta program-program yang telah diatur sepanjang kakitangan BKIP berada di sini.
“Kami amat terharu dengan layanan yang diberikan dan diharap agar kesinambungan dalam hubungan dan kerjasama yang telah terjalin ini akan dapat diteruskan.”
Lawatan selama tiga hari ahli-ahli BKIP ke Bahagian tersebut dipenuhi dengan program-program padat termasuklah aktiviti sukan iaitu bola sepak dan bola jaring yang membabitkan ahli-ahli BKIP dan juga ahli-ahli UMNO Bahagian Lenggong dan Puteri UMNO Bahagian.
Sebelum itu, acara kuiz, pertandingan mewarna dan sesi ceramah dari pegawai MARA turut diadakan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar kawasan tersebut.
Dalam lawatan ini juga, kakitangan BKIP melalui program khidmat masyarakat telah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal berupa, wang, kain batik, pelikat, kain telekung dan surah yassin.
Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Syamsul Anuar Nasarah; Ketua Cawangan Pekan Kuak, Tuan Haji Ibrahim Sulaiman; Ketua Cawangan Kampung Kuak, Tuan Haji Syed Idris Syed Abdul Hamid serta ahli-ahli UMNO dan penduduk kampung kawasan tersebut.
Lawatan tersebut adalah kunjungan balas kakitangan Ibu Pejabat UMNO selepas menerima kunjungan dari UMNO Bahagian Lenggong akhir tahun yang 2006 dan Puteri UMNO Lenggong, April lalu.